Skip to main content

BYDC - BAB 21

Pening kepala Hakimi dibuatnya. Berkahwin dengan orang yang tidak dikenalinya langsung. Pulak tu mana nak dicari wanita yang bernama Nur Jenna Jasmin Idris ni. Itulah nama wanita yang diceritakan oleh Hakim. Hakim beria-ia menyuruhnya untuk mencari Jasmin dan mengahwininya. Ini kerja gila namanya.
            Namun, demi adik tersayang, Hakim dengan rela hatinya bersetuju untuk memenuhi hajat kembarnya itu. Walaupun, dia bakal memperjudikan masa depannya dengan orang yang tidak dikenali.
Ye, Hakimi berjanji akan memenuhi hajat dan permintaan kembarnya itu. InsyaAllah, dia akan sedaya upaya untuk cuba belajar mencintai wanita yang bernama Nur Jenna Jasmin Idris itu. Bermula saat itulah, Hakimi menutup pintu hatinya untuk mana-mana wanita lain. Kerana hatinya bakal dimiliki oleh wanita itu.
            Suasana pagi yang hening dikejutkan dengan esakan suara umi yang sedang menangis di bilik tidur Hakim. Hakimi segera berlari menuju ke bilik adik kembarnya itu. Di dalam bilik, kelihatan umi sedang menangis teresak-esak sambil memangku tubuh Hakim yang kaku. Abi kini berada di belakangnya. Dia nampaknya terkejut dengan situasi yang dilihatnya.
            “Abi, anak kita dah tiada bi. Anak kita dah pergi tinggalkan kita bi. Hakimi, adik Kimi dah tiada.” Ujar umi sebak sambil terus memangku jasad kaku Hakim.
            Hakimi perlahan-lahan menuju kearah jasad Hakim yang terbujur kaku. Kakinya longlai melangkah. Dia memandang wajah bersih dan tenang Hakim. Hakim pergi tanpa sempat menjalani pemindahan hati. Allah lebih sayangkan dirinya. Air mata tidak lagi keluar dari tubir mata Hakimi. Dia redha diatas pemergian kembarnya kepada yang Pencipta.
            Patutlah adiknya itu beria-ia bercerita mengenai hajatnya. Rupa-rupanya itulah hajat terakhir arwah Hakim yang perlu ditunaikan oleh Hakimi. Hakimi berjanji kepada dirinya sendiri akan memenuhi permintaan terakhir arwah. Hakim nampak kelihatan tenang dan ceria semalam apabila mendapat tahu Hakim akan memenuhi permintaannya itu. Rupa-rupanya dia akan pergi untuk selama-lamanya.
            Jenazah Hakim sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kiara Mont. Ramai sanak saudara yang datang menghadiri majlis tahlil untuk arwah. Haikal dan Rina juga cuti mengejut dari pengajian mereka. Mereka berdua sedih kerana tidak sempat menatap wajah arwah buat kali yang terakhir.
Insan yang paling sedih sekali tentu sahaja umi. Tidak henti-henti air mata mengalir ke pipinya. Sayu dia memandang jasad kaku anaknya dimasukkan ke dalam liang lahad. Hati ibu mana yang tidak sedih, anak yang dikandung, di jaga penuh kasih sayang dijemput Allah sebelum dirinya. Namun, dia redha dengan ketentuanNya.
            Seluruh ahli keluarga kecuali umi berkumpul di ruang tamu. Masing-masing kelihatan murung dan bersedih. Sudah hampir sebulan arwah Hakim meninggalkan mereka semua. Namun, rasa sedih dan sebak masih lagi menyelubungi mereka terutama sekali umi.
            “Abi ada perkara sedikit yang nak dibincangkan dengan anak-anak abi ni.” ujar abi memulakan bicara.
            Hakimi, Haikal dan Rina sudah bersedia untuk mendengar kata-kata daripada ayah mereka.
            “Sudah sebulan arwah Hakim meninggalkan kita. Mesti arwah sedih lihat kita bersedih lagi macam ni. Oleh itu, abi nak mulai saat ini jangan sesiapa bangkitkan soal arwah lagi. Biarlah arwah terus kekal dalam hati kita. Bukan bermaksud kita melupakan dia. Tapi, yang hidup ini mesti teruskan hidup. Mesti arwah nak lihat kita gembira. Arwah mesti taknak lihat kita bersedih lagi.” Itulah kata-kata abi kepada Hakimi, Haikal dan juga Rina.
            Disebabkan itu jugalah, sampai ke saat ini soal Hakim tidak lagi diceritakan. Umi juga kelihatan sudah beransur pulih dari kemurungannya. Dia sudah nampak lebih ceria. Dia telah dapat menerima hakikat bahawa anaknya telah tiada. Namun, arwah akan sentiasa tetap di hati. Lebih-lebih lagi, dia boleh nampak Hakim dalam diri Hakimi kerana mereka adalah pasangan kembar.
            Misi Hakimi mencari Jasmin masih lagi diteruskan. Puas dia mencari wanita yang dipanggil Jasmin oleh kembarnya itu. Info mengenai Jasmin yang diberitahu Hakim terlalu sedikit dan ini menyulitkan pencariannya.
Hanya sekeping gambar yang disimpan arwah. Yang dia tahu, wanita ini berasal dari negeri Johor. Tak diketahui kawasan mana di Johor itu. Masih lagi belajar sewaktu arwah berkenalan dengan wanita itu. Mungkin sekarang masih belajar atau telah menamatkan pengajiannya.
            Sudah beberapa bulan Hakimi mencari Jasmin. Namun, masih lagi tidak dijumpai. Puas juga dia bertanyakan pada rakan-rakannya di Shah Alam. Tapi, masing-masing tidak kenal wanita yang bernama Nur Jenna Jasmin Idris itu.
            Untuk menghilangkan tekanan dan stress mencari Jasmin, Hakimi membawa dirinya menikmati suasana di kompleks membeli-belah Suria KLCC. Geli hatinya apabila terfikir untuk menenangkan diri di pusat membeli-belah ini. Selalunya, kalau dia stress, dia akan menghabiskan masanya di gym. Kali ini lain pula halnya. Apa agaknya mimpi dia.
            Kakinya melangkah ke gedung buku, Kinokuniya yang ada di pusat membeli belah itu. Ingin rasanya membelek-belek buku-buku perniagaan yang ada di situ bagi menambahkan pengetahuannya. Sedang dia asyik membelek buku-buku di situ, dia terpandang akan wajah wanita yang dicari-cari selama ini.
Ye, wanita itu persis wanita yang ada di dalam gambar ini. Dia merenung lama wajah ayu wanita yang sedang asyik membelek sebuah novel. Arwah Hakim pernah memberitahunya bahawa Jasmin suka membaca terutamanya novel. Katanya lagi, Jasmin ni kaki novel.
            Sedang asyik dia merenung keayuan wajah wanita itu, tidak disangka-sangka wanita mengangkat wajahnya dan memandang dirinya pula. Dia terkesima kerana memang sah itulah wanita yang dicari-cari selama ini. Tiba-tiba hatinya berdegup dengan kencang sekali. Renungan mata wanita itu membuatkan dadanya berdebar-debar. Apa sebenarnya rasa ini. Adakah ianya cinta pada pandangan pertama.
            Wanita itu juga kelihatannya amat terperanjat sekali. Sepertinya wanita itu terkejut melihat wajah Hakimi. Wanita itu berdiri kaku memandang Hakimi.
            Tiba-tiba...............”Jenna..Jenna...” terdengar suara seorang lelaki menyapa lembut wanita itu. Wanita itu tersentak daripada lamunannya tadi. Wanita itu memandang pula lelaki yang menyapanya tadi. Secepat itu juga, Hakimi meluru keluar dari gedung buku itu.
            Siapa agaknya lelaki itu? Memanggil wanita itu Jenna. Benarkah wanita itu yang dicari selama ini. Tapi, siapa pula lelaki itu? Adakah suaminya atau kekasih? Terlalu banyak persoalan bermain di minda Hakimi kini. Kalau benarlah lelaki itu suami kepada wanita itu, maka hancurlah segala hajat arwah adik kembarnya itu.
            Kesibukan Hakimi di pejabat membantutkan proses pencarian Jasmin. Bukan dia tidak beria-ia untuk melaksanakan permintaan arwah itu. Namun, kesibukannya di pejabat lebih-lebih lagi sekarang pejabatnya kekurangan staf melambatkan pencarian Hakimi. Namun, dia berjanji kepada dirinya akan menyambung kembali pencariannya.
            “Encik Hakimi, ini data-data dan resume calon-calon yang telah kita senarai pendekkan.” Ujar setiausaha Hakimi, kak Wahida. Wanita beranak dua itu memang telah lama berkhidmat di syarikat keluarga Hakimi. Hakimi selesa bekerja dengannya.
            “Terima kasih kak Wahida. Letak aje kat situ. Nanti saya semak semula.” Balas Hakimi pula memandang senyum kepada setiausahanya itu. Kak Wahida meminta diri untuk keluar dan Hakimi membenarkan.
            Ada lebih kurang tiga resume calon-calon yang telah di saring oleh pegawa-pegawainya yang lain. Dan Hakimi sebagai pengarah urusan perlu memilih salah seorang calon untuk menduduki kerusi jawatan pegawai eksekutif pemasaran. Ada dua orang lelaki dan seorang perempuan.
            Hakimi melihat resume calon wanita itu. Terkejut dia apabila membaca resume calon tersebut. Tertera dihadapannya kini nama Nur Jenna Jasmin Bt Idris, wanita yang dicari-cari selama ini. Syukur Alhamdulillah, kerana dipermudahkan pencariannya. Hakimi menyelak lagi resume Jasmin. Nampaknya wanita ini memenuhi kriteria-kriteria  yang diperlukan untuk menduduki jawatan tersebut. Nampaknya, keputusan sudah berada di tangan Hakimi. Nur Jenna Jasmin Idris akan bekerja di Megah Maju Holdings. Rancangannya akan diteruskan.
            Tidak disangka semasa sedang bekejar-kejar untuk ke mesyuarat ahli lembaga pengarah di Pelabuhan Klang, Hakimi berlanggar dengan seorang wanita. Habis semua fail-fail yang dipegang wanita itu jatuh ke lantai. Apalagi, membebellah wanita itu sambil tangannya memungut kembali fail-fail yang jatuh tadi. Hakimi hanya memandang perilaku wanita dihadapannya ini. Terperanjat dia tadi apabila memandang wajah wanita itu. Nur Jenna Jasmin Idris. Jantungnya berdegup kencang.
“Ishh.....Kurang asam betullah. Pagi-pagi lagi dah ada orang buat hal dengan kita. Mata letak kat mana entah. Jalan bukan main besar lagi boleh pula dilanggarnya kita. Menyampah betullah aku. Buta apa?” wanita itu masih lagi membebel sendirian sambil tangannya lincah memungut fail-failnya.
“Habis dah membebel tu? Kalau tak habis lagi bolehlah awak teruskan sampai petang nanti.” kata Hakimi pula tiba-tiba. Dalam hatinya bagai nak terkeluar ketawanya. Dia tersenyum geli hati melihat wanita itu bangun dan memandangnya dengan pandangan tidak percaya. Nampak sangat seperti dia ternampak hantu.
 “Aikk, tadi bukan main lagi mulut tu terkumat-kamit membebel. Sekarang dah hilang pula suara. Cik adik oii, bawa tutuplah mulut tu. Tak elok ternganga sampai macam tu sekali. Nanti masuk lalat pula.” Kata Hakimi lagi sambil tersenyum sinis. Saja je dia berkata begitu, ingin melihat reaksi wanita di hadapannya itu.
Wanita itu tersedar dari lamunannya. Tanpa memandang Hakimi dengan muka yang merah padam, wanita itu terus meluru masuk ke dalam lif tanpa menoleh ke belakang lagi. Betul cakap arwah Hakim, wanita ni memang comel bila marah.
Akhirnya, Hakimi dipertemukan juga dengan Nur Jenna Jasmin Idris setelah dia terlalu sibuk dengan kerjanya. Wanita itu kelihatan amat terperanjat apabila memandang dirinya. Seperti dirinya mengingatkan wanita itu kepada seseorang. Dan Hakimi tahu siapa orang itu.
Mula-mula wanita itu kelihatan tidak berapa selesa dengan dirinya. Namun lama-kelamaan, dia sudah dapat menyesuaikan diri dengan diri Hakimi. Mereka juga sudah boleh berbual mesra dan berkongsi cerita.
 Hakimi ketawa kecil mengenangkan kembali saat dia membantu Jasmin yang pengsan di pantri tempoh hari. Kaget juga dia bila Jasmin tidak sedarkan diri walaupun telah dikejutkan beberapa kali. Dalam diam, Hakimi memandang wajah wanita yang dipuja-puja arwah kembarnya itu. Jasmin memang seorang gadis yang cantik. Walaupun, tidak sejelita mana tapi sesiapa yang memandangnya akan hadir satu perasaan yang tenang dan damai. Hati Hakimi kembali berdegup kencang.
Dia pelik apabila melihat ada air jernih menitis keluar dari tubir mata wanita itu. Apakah mimpi yang sedang di alami wanita itu agaknya. Tanpa disedarinya, tangannya menyapu lembut air mata yang mengalir di pipi wanita itu. Terperanjat apabila wanita itu tiba-tiba membuka matanya. Wanita itu juga terperanjat memandang wajahnya. Hakimi menghulurkan segelas air masak menyuruh wanita itu minum.
Dia masuk ke biliknya, apabila staf-stafnya yang lain sudah memasuki pejabat. Seterusnya, Jasmin dibantu oleh stafnya yang lain.
Projek di JB tempoh hari mendekatkan dan merapatkan lagi hubungan Hakimi dan juga Jasmin. Walaupun, Jasmin masih lagi nampak segan akan dirinya, tapi itu tidak ditunjukkan sangat keseganannya itu.
Malam itu, Hakimi terperanjat apabila Jasmin mengatakan yang dia ingin berbual-bual dengannya di perkarangan hotel. Hakimi menerima pelawaan itu. Dia nampak Jasmin agak terganggu malam itu. Akhirnya, Jasmin membuka cerita mengenai Jojo iaitu Hakim, adik kembarnya.
Ternyata, benarlah inilah wanita yang dikasihi oleh kembarnya. Hakimi hanya mendengar luahan hati Jasmin. Dia tidak memberikan sebarang komen. Lidahnya kelu untuk berkata-kata saat itu. Yang terkeluar dibibirnya pula ialah mungkin Jojo mempunyai alasannya tersendiri kenapa dia bertindak sebegitu kepada Jasmin.
Hakimi nampaknya masih belum bersedia untuk bercerita mengenai arwah Hakim kepada Jasmin. Jasmin nampaknya sudah beransur tenang apabila meluahkan apa yang dirasanya kepada Hakimi.
Lawatan ke rumah Jasmin benar-benar membuatkan dirinya bahagia. Ibu bapa Jasmin menyambut dirinya dengan senang hati. Layanan yang mereka sekeluarga berikan membuatkan dia gembira sekali. Banyak cerita-cerita mengenai Jasmin diceritakan oleh adik bongsu Jasmin iaitu Jazril.
Lucu dibuatnya mendengar karenah Jasmin yang agak lasak waktu kecilnya. Hakimi juga ada berkias-kias menyuarakan isi hatinya kepada Jasmin. Tapi nampaknya Jasmin tidak mengambil serius dengan kata-katanya itu. Mungkin dia ingat Hakimi melawak agaknya. Tapi tidak bagi Hakimi. Kali pertama dia memandang wajah Jasmin di Kinokuniya tempoh hari, hatinya berdegup kencang. Dia berjanji pada dirinya juga akan membahagiakan Jasmin dan mencintai wanita sepenuh hatinya.
Namun, harapannya musnah apabila dia mendapat tahu bahawa Jasmin sudah mempunyai seorang kekasih, lelaki yang dilihat tempoh hari. Hancur luluh hatinya kerana hajat kembarnya dan juga hajat dirinya tidak tercapai. Namun, dia bahagia jika Jasmin telah berjaya menemui kebahagiaannya sendiri.
Jodonhya sememangnya untuk Nur Jenna Jasmin Idris kerana wanita itu ditakdirkan kehilangan insan yang disayanginya. Hisyam terlibat di dalam kemalangan jalan raya dan telah mengorbankan nyawanya.
Bukan niat dia untuk mengambil kesempatan atas apa yang berlaku. Namun, dia tidak tega untuk melepaskan Jasmin lagi. Kini, dia bukan sekadar akan memenuhi hajat arwah kembarnya, tetapi hatinya telah berjaya dicuri oleh Jasmin. Dia menjadi sahabat dan teman kepada Jasmin. Dia mengembalikan semula keceriaan dan senyuman Jasmin selepas ketiadaan Hisyam.
Dia tahu Hisyam akan terus di hati Jasmin. Dia tidak kisah semua itu. Dia mahu Jasmin memulakan hidup yang baru. Disebabkan itulah, dia dalam senyap meminta umi dan abi menghantar rombongan meminang Jasmin. Umi dan abi begitu terkejut dengan keputusannya. Akhirnya, mereka berdua gembira dengan keputusan yang dibuat Hakimi. Dan mereka juga sangat menyenangi Jasmin.
Jasmin pada mulanya agak keberatan untuk menerima lamaran Hakimi. Namun, Hakimi menyatakan yang dia selama ini memang menyimpan perasaan dan cinta terhadap Jasmin. Hakimi akan terus menunggu Jasmin bersedia menerima dirinya.
Lama-kelamaan, keazaman dan kesabaran yang ditunjukkan oleh Hakimi telah berjaya melembutkan hati Jasmin. Hakimi berasa sangat gembira dan bersyukur ke hadrat ilahi kerana Jasmin dapat menerimanya walaupun tidak sepenuhnya lagi. Janjinya dia akan memberikan sepenuh kasih dan sayang kepada isterinya yang telah selamat dinikahi. Akan membahagiakan Jasmin selagi dia masih hidup lagi di dunia ini. Hajat arwah kembarnya juga telah dipenuhi.
********************************************************************

Comments

Popular posts from this blog

Hajat - Haida (Lirik)

Hajat - Hajat Bisakah kau tempuh ranjau ini Yang pastinya jurang menghalang Sanggupkah engkau Susah payah bersamaku Janganlah pula nanti Kau menyesali Setelah melalui Ku sekadar mawar di jalanan Tak bererti duri yang dipandang Rupa adalah diangankan setiap insan Betapa jauh jarak kita berdua Janggal digandingkan Pernahkah kau fikir satu masa nanti  Sayangku apa kan terjadi Pasti gelora yang akan melanda Kita berdua akan karam Ohh kasihh...... Sungguhku mengerti Tulus benar oh kasihmu tak kusangsikan Seputih hatiku itulah kasihmu dari dulu dan kini Ohh sayangku..... Lupakanlah semua hajat untuk memiliki diriku ini Tak sanggup rasanya dirimu dicerca  Maka retak kasih saudara Kita saling kasihi Jadikanlah itu memori Sayangku moga engkau tahu Tidak semua cinta bersatu

Bukit Sapu Tangan & Tasik Cermin

Tarikh : 16 September 2020 Tempat : Bukit Sapu Tangan ❤ Tasik Cermin Starting Point : Alam Budiman Trail Tempoh Pendakian : 4 jam 35 minit turun dan naik  Total Jarak Pendakian : 13KM Tahap Kesukaran : Easy to Moderate Log perjalanan  Baru aku tahu yang area aku duduk sekarang ni rupa-rupanya ada 1 trail hiking yang kian dikenali dan menjadi pilihan hikers untuk melakukan aktiviti hiking mereka. Tak ku sangka, kawasan hutan tepi rumah aku ini merupakan satu kawasan hutan simpan. Patutlah kadang-kadang hari minggu penuh kereta bersusun tepi jalan sampaikan sekarang dah tak dibenarkan park disitu lagi since telah menganggu pengguna jalan raya yang lain. Kawasan hiking yang aku maksudkan ialah Setia Alam Community Trail . Dekat je dengan rumah aku. Keluar je kawasan apartment, lepas Petron amik simpang ke kiri jalan besar. 1st simpang tiga masuk kiri. Haaa..situ lah starting point nak ke Bukit Sapu Tangan & Tasik Cermin. Actually, lame sangat teringin nak ke sini. Namun tak ada sape y

Bila Meter Air Menderu Laju

Huhuhuhu...Sedihnya hati..sakitnya hati...kecewanya hati...segala jenis rase ade kala ini tatkala mengenangkan jumlah bil air Tentoobie bulan lepas...Mengucap panjang Cik CT dibuatnya bila melihatkan total amount yang perlu kami bayar nanti. Tak dapat nak dinafi lagi..dan tak dapat nak dipertikaikan lagi. Ternyata benar yang jumlah bil air bulan lepas melangkau ke tiga angka. RM215..RM215 (meh Cik CT 'bold'kan) uollss kami perlu bayar jumlah penggunaan air yang keluar padahal dalam erti kata yang sebenar-benarnya kami bertujuh takder lah guna air sampai melambung ke jumlah itu. Nampak macam kami tengah buat kenduri kawen besar-besaran atau ada kolam renang je sampai bil air melambung macam tu sekali. Actually every month, bil air Tentoobie lebih kurang dalam RM60 hingga ke RM70 jer. Paling banyak pun RM95. Benar-benar menguji tahap kesabaran seluruh warga Tentoobie khususnya Cik CT ni ha sebagai ketua rumah...Tak tenteram jiwa dibuatnya. Emosi Cik CT dan kawan-kawan