Senyuman kegembiraan jelas terukir di bibir Encik Hakimi. Perkhabaran gembira dari doktor tadi benar-benar membuatkan dirinya bahagia. Tidakkah aku bahagia juga. Tentu sekali aku bahagia. Namun, aku masih ada rasa lagi kekurangan dan serba tidak kena.
Kami berdua di dalam kereta menuju pulang ke rumah selepas aku membuat pemeriksaan di klinik tadi. Doktor mengesahkan aku mengandung tiga minggu. Bukan main gembira lagi suamiku itu bila dikhabarkan berita gembira itu, aku dipeluk seerat-eratnya dan dicium bertalu-talu. Naik segan pula aku dengan doktor dan jururawat yang berada di situ.
Doktor perempuan yang bernama Hasyimah tersenyum senang melihat kegembiraan yang jelas terpapar di raut wajah suamiku. Aku sejujurnya gembira melihat kegembiraan suamiku itu. Hatiku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana bakal dikurniakan cahaya mata hasil dari kasih sayang aku dan Encik Hakimi. Namun, sebelah hatiku pula masih lagi rasa sebal dan terkilan di atas perlakuan suamiku itu.
Sebolehnya ingin aku jauhi perasaan ini dari terus menghantuiku. Aku jadi tidak tenteram. Aku tidak mahu hal-hal sebegini akan menjejaskan dan merosakkan keharmonian rumahtanggaku. Lagipun, kami berdua bakal menerima cahaya mata sulung. Aku tidak mahu terjadi apa-apa ke atas kandunganku nanti. Aku perlu menyelesaikan hal ini secepat yang mungkin. Selagi tidak disuarakan rasa hati ini dan aku tidak mendengar sendiri penjelasan daripada mulut suamiku, selagi itulah aku berada dalam keadaan yang sungguh tidak tenang.
“Sayang, abang happy sangat hari ini. Kita bakal terima orang baru dalam kehidupan kita. Terima kasih sayang kerana sudi mengandungkan zuriat abang. Terima kasih banyak-banyak sayang.” Ujar Encik Hakimi gembira memandangku sekilas di sebelah sambil tangannya menggenggam erat jari jemariku. Aku hanya mampu tersenyum sedikit mendengar butir bicaranya itu.
“Balik ni kita telefon mak dan ayah di kampung. Beritahu mereka yang mereka akan dapat cucu tak lama lagi. Petang ni kita pergi rumah umi dan abi. Mesti diorang semua gembira nanti.” ujar suamiku lagi dengan penuh keterujaaan.
“Sayang, kenapa ni? Senyap je abang tengok sayang dari tadi. Sayang tak suka ke mengandungkan anak kita ni.” terus berubah riak wajah suamiku yang tadinya cukup gembira dan teruja. Tiba-tiba, terbit rasa bersalah di dalam hati kerana telah membuatkan suamiku bersedih.
Aku memang gembira dan teruja dapat mengandungkan zuriat abang, hasil perkongsian rumah tangga kami berdua yang terbina. Tetapi, selagi perkara itu masih menghantui diri ini dan belum diselesaikan, selagi itulah hatiku ini jadi kacau. Tidak tenang.
“Kenapa abang cakap macam tu? Jasmin bersyukur sangat pada Yang Maha Esa kerana dapat mengandungkan anak kita ni. Hasil dari rasa kasih sayang kita berdua. Tapi satu aje yang Jasmin nak sangat tahu dari abang. Abang ceritakanlah apa-apa rahsia yang abang sembunyikan selama ini dari Jasmin.” Kataku lagi dengan penuh pengharapan agar suamiku dapat menjelaskan hal yang bermain di dalam benak fikiranku ini.
“Sayang cakap apa ni? Rahsia apa yang abang sembunyikan dari sayang ni?” tanyanya pula tidak faham.
Kereta yang dipandu oleh Encik Hakimi sudah selamat sampai di rumah. Aku terus meluru masuk ke dalam rumah tanpa menunggunya. Marah dan geram aku rasakan kini kerana suamiku itu seolah-olah tidak tahu apa-apa langsung mengenai gambar-gambar di dalam album yang aku jumpai tempoh hari.
Aku duduk di sofa sambil memeluk tubuhku. Encik Hakimi masuk ke dalam rumah dan terus duduk di sebelahku.
“Sayang, cuba beritahu abang apa rahsia yang abang sembunyikan dari sayang?” ujarnya lagi sambil memandang tepat wajahku.
Aku memandang wajahnya sedih. Lalu, aku mengeluarkan dua keping gambar dari tas tanganku. Gambar suamiku bersama kembarnya dan juga sekeping gambar diriku. Dua keping gambar itu memang sering kubawa ke mana sahaja. Dan inilah masanya untuk aku menagih semua penjelasan mengenai gambar-gambar tersebut. Lalu, gambar-gambar itu kuhulurkan kepadanya. Jelas sekali riak terkejut terpamer diwajahnya.
“Mana sayang dapat gambar-gambar ni?” tanyanya tiba-tiba.
“Jasmin jumpa gambar-gambar ni dalam kotak biru abang masa Jasmin tengah kemas barang-barang abang dalam bilik stor hari tu.” kataku pula menjawab soalannya tadi.
“Boleh abang jelaskan pada Jasmin tentang gambar-gambar ni?” tanyaku lagi perlahan-lahan sekaligus meminta penjelasan daripadanya. Dia hanya terdiam seribu bahasa.
“Tolonglah bang. Apa semua ni, bang? Jasmin tak faham apa-apa abang. Tolong jelaskan pada Jasmin. Jasmin perlukan penjelasan daripada abang. Jasmin nak dengar semuanya dari mulut abang sendiri. Jasmin tak nak dengar dari mulut orang lain. Tolonglah abang.” Rayuku padanya. Air mata telah lama mengalir keluar membasahi pipiku. Aku berasa cukup sedih. Aku berasa seperti telah ditipu.
“Sayang, janganlah macam ni. Kan doktor pesan tadi, sayang mesti banyakkan berehat. Sayang tak boleh terlalu stress. Nanti akan menjejaskan baby dalam kandungan.” Ujar suamiku risau bila melihatkan aku yang tidak dapat mengawal emosi.
Aku pun sebenarnya tidak mahu itu terjadi. Aku sayangkan anak di dalam kandunganku ini. Namun, aku mesti tahu perkara yang sebenarnya mengenai gambar-gambar ini.
“Kalau abang tak nak tengok Jasmin sedih dan stress, abang mesti jelaskan semuanya pada Jasmin. Jangan sembunyikan satu pun dari Jasmin.” Kataku lagi masih lagi menangis teresak-esak.
“Baiklah, abang akan ceritakan semuanya pada sayang. Hal itupun dah terlalu lama abang simpan. Abang rahsiakan. Rasanya kini sudah tiba masanya abang membuka rahsia yang selama ini abang rahsiakan daripada sayang. Dan abang mahu selepas ini kita mulakan hidup baru bersama anak yang bakal lahir ini. Apa jua yang sayang dengar, abang nak sayang tahu yang abang memang terlalu cintakan sayang. Tiada sesiapa yang memaksa abang untuk mencintai sayang dan mengahwini sayang.” Ujar suamiku panjang lebar sambil mengelap lembut air mata yang masih lagi mengalir di pipiku.
********************************************************************
Comments
Post a Comment