Aku sedang asyik menghadap novel yang baru Encik Suamiku belikan, Takdir Itu Milik Aku karya novelis terkenal, Siti Rosmizah. Sememangnya, aku kagum dan bangga dengan novelis tersebut kerana dapat menghasilkan sebuah karya yang bisa meruntunkan hati sesiapa jua yang membacanya. Kisah tragis seorang isteri yang sering ditindas dan disakiti oleh suami sendiri yang hanya asyik mengejar kemewahan. Tak dapat kubayangkan jika aku sendiri berada di dalam situasi seperti di dalam novel yang sedang kubaca ini. Aku rasa cukup bertuah kerana memiliki seorang suami yang sayang dan cinta akan diri ini.
Sedang aku terleka di dalam kekhusyukkan menghayati novel ini, pandanganku menjadi gelap kerana dihalang oleh sepasang tangan sasa. Aku sudah dapat mengagak empunya tangan yang suka-suka menganggu hobiku ini. Sekilas aku menoleh ke belakang memandang wajah suamiku dengan pandangan yang geram.
“Abang ni.........Boleh tak jangan kacau Jasmin. Jasmin tengah syok-syok layan novel ni tau. Abang ni kacau daunlah. Hilang konsentrasi Jasmin.” Ujarku separuh merajuk yang sengaja ku buat-buat. Suamiku itu lantas melabuhkan punggungnya di kerusi yang ada dibalkoni itu sambil tersengih-sengih memandangku.
“Alololo....merajuk pula dia.” Pantas tangannya mencubit geram kedua-dua belah pipiku. Aku menyeringai kesakitan.
“Patutnya abang tau yang merajuk. Bukannya sayang. Sayang asyik sangat dengan novel tu. Novel sayang tu yang kacau daun kita. Bukan abang. Kalau tahu abang tak belikan tau novel tu. Bak sini minta balik novel tu.” ujar suamiku sambil tangannya ingin merampas novel yang sedang aku pegang.
Ishh..tak boleh jadi ni. Aku kena selamatkan novel kesayanganku ni. Lantas dengan sepantas kilat aku berlari masuk kedalam bilik sambil mendakap novel kesayanganku itu. Apalagi, bermulalah sesi kejar mengejar.
Disebabkan ruang di dalam bilik itu tidaklah berapa luas, akhirnya suamiku dapat menangkapku dan menghenyakkan tubuhku dan tubuhnya di atas katil.
“Sayang...we are now in honeymoon mood. So, simpan-simpan novel ni dulu ye. Masa sayang hanya akan dipenuhi bersama abang aje. Abang tak nak lepaskan sayang lagi tau. Dua minggu tau abang tunggu. Let’s go, we make a baby now.” Ujar suamiku sambil memelukku dengan erat. Lemas aku dibuatnya. Betullah laki aku ni. Manjanya terlebih over lah pula.
“Abang ni nakal tau. Yer lah..Yer lah...Jasmin akan sentiasa berada di sisi abang sampai bila-bila. Jasmin sayangkan abang sangat-sangat tau.” Ujarku ikhlas dan mencium kedua-dua belah pipinya mesra.
Selepas itu, kami berdua sama-sama melayari bahtera indah yang kami bina berdua-duaan. Menyulam cinta yang semakin hari semakin kembang mekar bagai bunga mekar di taman. Semoga kami berdua sentiasa dirahmati Allah dan dikurniakan dengan anak-anak yang soleh dan juga solehah.
Percutian bulan madu kami di Cameron Highlands itu sebenarnya ditaja sepenuhnya oleh umi dan abi. Sebelum ini, mereka ada menanyakan kepadaku kemana bulan madu kami berdua. Aku katakan kepada mereka aku hanya ingin bercuti di dalam negara sahaja. Lebih menarik dan best. Negara sendiri pun belum habis jelajah inikan pula mahu ke negara orang. Apalah kau ni Jenna, hari tu bukan main cemburu Intan dapat honeymoon ke Korea.
Percutian kami berdua ke Cameron Highlands benar-benar meninggalkan memori dan kenangan-kenangan yang cukup manis yang tak dapat dilupakan. Hampir saban hari kami menghabiskan masa bersama-sama duduk di hotel menyulam cinta dan berbual-bual mesra. Bukannya tak mahu keluar berjalan-jalan, tapi cuaca yang sejuk bagaikan di luar negara itu membuatkan kami berdua lebih selesa berada di hotel. Di dalam selimut menyelubungkan diri. Hehehe...Nama pun bulan madu kan.
Tetapi banyaklah juga tempat-tempat yang menarik yang sempat kami pergi. Menikmati udara nyaman di ladang teh, melihat kehijauan tanah tinggi yang masih lagi terpelihara. Menikmati buah-buahan strawberi yang segar-segar. Melihat bunga-bunga ros dan juga bunga-bungaan yang lain. Pendek kata, Cameron Highlands sesuai sangatlah bagi mereka yang baru mendirikan rumah tangga untuk pergi berbulan madu. Bukan apa, lebih romantik kerana dapat saling berpelukan di dalam kedinginan dan kenyamanan udaranya.
Kami masih lagi di dalam mood bulan madu. Ke mana sahaja aku pergi, Encik Hakimi akan sentiasa berada disisiku. Tak lekang lansung dari diriku. Harap-harapnya berkekalanlah hendaknya situasi begini. Perangai keanak-anakkan suamiku itu pun semakin menjadi-jadi. Kadang-kadang terbit juga rasa rimas tapi pada masa yang sama aku gembira kerana aku rasa lebih disayangi dan dihargai oleh suami sendiri.
Buat sementara waktu ini, aku dan Encik Hakimi akan duduk bersama-sama dengan keluarga mertuaku di rumah besar ini. Kalau nak diikutkan, aku boleh sahaja menetap di rumah besar ini sampai bila-bila kerana bukan ada sesiapapun dalam rumah yang besar ni. Umi dan abi sahaja yang ada dan juga dua orang gaji umi, Kak Tini dan Mak Jah.
Namun, suamiku tetap berkeras mahu kami berpindah dan duduk di kediaman sendiri. Tahulah sangat aku kenapa beria-ia benar suamiku ingin berpindah. Katanya inginkan privasi buat kami berdua. Boleh buat apa sahaja kalau di rumah sendiri. Lagipun kami ingin hidup berdikari.
Mujurlah juga umi dan abi jenis yang tidak kisah. Mereka pun bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Encik Hakimi. Cuma umi sahaja pada mulanya yang agak keberatan namun pesannya agar selalu-selalulah balik kerumah besar itu. Menjenguk mereka berdua.
Kata abi pula kalau boleh cepat-cepatlah kami dapat anak kelak lepas ni umi dan abi tak adalah terasa sunyi sangat. Ada peneman buat bermain dan bergurau. Tersenyum lebar bila mendengarkan permintaan ibu dan bapa mertuaku itu. InsyaAllah umi, abi.
Aku pula turutkan sahaja keputusan suamiku. Baik juga duduk dirumah sendiri ni. Tak adalah pergerakan aku terbatas nanti. Boleh buat apa sahaja.
Kedua-dua adik iparku juga sudah berangkat semula ke luar negara bagi meneruskan pengajian mereka. Kata Rina semasa kami semua menghantarnya dan Haikal ke lapangan terbang supaya aku cepat-cepat memberikannya anak saudara untuknya. Tak sabar rasanya nak peluk anak buah sendiri. Nak jadi mak su Rina. Katanya lagi, balik hujung tahun ni dia sudah dapat menimang anakku dan Encik Hakimi. Amboi, pandai-pandai jer adik iparku yang seorang ni.
Itu semuanya kerja Allah. Kalau ada rezeki kami berdua dapat menimang anak seawal ini, aku terima dan bersyukur sangat-sangat. Rezeki Allah nak beri jangan ditolak.
Dalam-dalam saat mengucapkan selamat tinggal kepada Haikal dan Rina, sempat aku terdengar perbualan suamiku dan Haikal. Mereka sedang bercerita mengenai seorang lelaki bernama Hakim. Kata Haikal lagi pada Encik Hakimi bila mahu membawaku berjumpa dengan lelaki yang mereka panggil abang Hakim. Suamiku hanya menganggukkan kepalanya sahaja kerana selepas itu aku tidak dengar lagi perbualan mereka kerana sibuk melayan karenah si Rina ni.
Tapi siapakah abang Hakim tu? Kenapa nama aku terbabit sama? Dan kenapa aku perlu dibawa berjumpa dengan abang Hakim? Siapa sebenarnya abang Hakim?
Pening kepalaku dibuatnya. Rahsia apa lagi yang sedang disembunyikan oleh suamiku itu.
***************
Selesai membersihkan diri malam itu, aku duduk di depan cermin sambil menyisir rambutku yang terurai panjang. Suamiku itu suka sangat dengan haruman rambutku dan ikal mayang rambutku. Katanya lagi tak sangka aku mempunyai rambut panjang yang sihat dan rapi. Aku memandang wajahnya yang sedang asyik membaca majalah perniagaan dari biasan cermin solekku.
Di dalam hati ini banyak soalan yang ingin aku ajukan kepadanya. Aku inginkan penjelasan daripadanya mengenai kesahihan cerita Rina mengenai kenapa terlalu payah dirinya untuk berkahwin dan kini mengenai seorang lelaki yang bernama abang Hakim. Siapa sebenarnya manusia bernama Hakim ini.
Perlahan-lahan aku naik ke atas katil dan meletakkan kepalaku di atas dadanya yang bidang itu. Dia biarkan sahaja tindakanku itu.
Nak tanya ke tak ni...nak tanya ke tak ni....
Hatiku berbelah bahagi sama ada hendak bertanyakan soal itu atau tidak. Alah, tanya aje lah.
“Abang, boleh tak Jasmin tanya sesuatu?” tanyaku perlahan-lahan takut soalan yang akan aku ajukan ini membangkitkan kemarahannya.
“Benda apa yang Jasmin nak tanya? Tanya je lah.” Katanya lagi sambil matanya tidak lepas dari menatap majalah itu. Tangan sebelahnya pula mengelus lembut rambutku. Aku masih lagi teragak-agak untuk bertanya.
“Sayang...Sayang nak tanya pasal apa? Awat senyap pula?” tanyanya lagi bila melihatkan aku masih lagi tidak mengeluarkan suara.
“Abang....siapa abang Hakim tu? Kenapa abang kena bawa Jasmin jumpa dengan dia?” tanyaku bertalu-talu membuatkan suamiku tiba-tiba tersentak dan hampir terlepas majalah yang sedang dipegangnya itu.
“Mana Jasmin dengar nama Hakim ni?” tanyanya pula tanpa menjawab soalanku tadi.
“Masa kat airport hari tu. Jasmin terdengar perbualan antara abang dengan Haikal. Kata Haikal bila abang nak bawa Jasmin jumpa abang Hakim. Kenapa Jasmin kena jumpa abang Hakim tu bang? Siapa Hakim tu?” tanyaku lagi bertalu-talu membuatkan suamiku terkedu.
“Err....err...kawan bisnes abang. Nanti abang bawa sayang jumpa dengan dia. Sayang, kita tidur nak. Esok dah nak masuk kerja. Nanti lambat bangun pula kita.” Kata Encik Hakimi tergugup sambil sempat lagi mencium kepalaku dan pipiku. Aku terkedu seketika namun aku mencium pula kedua-dua tangannya.
Namun, malam itu aku tidak dapat melelapkan mataku. Aku tahu suamiku itu sedang berbohong. Abang Hakim kawan bisnes suamiku? Tapi, kenapa pula Haikal beria-ia suruh bawa aku berjumpa dengannya. Bila masa pula Haikal kenal rakan-rakan bisnes abangnya itu. Kalau kawan bisnes pun, apa perlunya membawa aku berjumpa dengannya. Pasti ada sesuatu yang cuba disembunyikan oleh suamiku. Aku mesti cari tahu apa yang sedang suamiku sembunyikan.
Ya, aku mesti merungkaikan segala rahsia ini. Orang pertama yang perlu aku tanya tentu sahaja Rina. Mujurlah juga zaman sekarang mempunyai kemudahan yang canggih yang membolehkan dua manusia berhubung walaupun masing-masing berada ditempat yang jauh. Aku akan menghubungi Rina esok pagi dipejabat kerana waktu di Jepun kemungkinan waktu malam. Aku tidak mahu mengganggu waktu belajarnya.
********************************************************************
Comments
Post a Comment