Monday, 26 November 2012

BYDC - BAB 4


Fuhh.....Apa jenis mimpi yang aku mimpi semalam. Gilalah. Ada ke patut semalam aku bermimpi hubungan aku dengan Hisyam tergugat oleh orang lain. Bukan setakat orang ketiga tapi dah ada orang keempat ni. Pelik betul. Dan yang paling membuatkan hatiku berdegup kencang apabila salah seorang individu yang cuba mengganggu-gugat hubungan kami adalah Jojo. Ya Allah. Benarkah Jojo muncul kembali? Peliknya wajah orang yang keempat itu tidak dapatku kenal pasti tapi yang pasti itu adalah seorang perempuan. Aduhai. Kenapa ni? Moga-moga mimpiku itu tidak menjadi kenyataan. Mimpikan hanya mainan tidur. Betulkan?
Arghh..Bosannya duduk rumah. Bila nak mula bekerja ni? Intan pula dah seminggu bekerja di sebuah syarikat pembinaan di KL. Seronoknya dia. Cepat betul rezeki dia sampai. Aku jer lah yang masih menganggur sampai ke hari ini.
Aduhai, tak betah lagi aku duduk di rumah. Ada sahaja benda yang tak kena. Paling menyesakkan hati aku, pantang ada masa terluang mulalah aku terkenangkan kembali mimpiku itu. Tak tenteram jiwaku dibuatnya. Aku tidak berceritakan perihal mimpi aku itu pada Hisyam. Gila aku nak bercerita mimpi aku itu padanya. Lebih-lebih lagi mengenai Jojo. Cinta pertamaku.
“Kak long, ni ada surat untuk kakak. Tadi ada posmen datang. Entah-entah surat tawaran kerja kot.” Kata adik ketigaku, Nur Jasrina awal pagi itu.
Aku yang sedang memasak hidangan makanan tengah hari terus mencapai surat yang ada ditangan adikku itu. Tak sabar rasanya hendak melihat butir-butir perkara di dalamnya. Moga-moga benarlah kata si Jasrina ni.
“Wah, betullah Jas. Ni surat dari ‘company’ yang kak long hantar resume hari tu. Harap-harap kata-kata Jas tu tepatlah.” Kataku pada Jasrina pula.
“Cepatlah buka kak.” Kata Jasrina tidak sabar.
Aku terus mengoyak bahagian atas sampul surat itu. Lalu aku membaca apa yang tertera di situ. Tiba-tiba aku menjerit suka. Sampaikan terperanjat Jasrina di buatnya.
“Jas, kak long dah dapat kerja. Dekat KL. Seronoknya kak long Jas. Emak dan ayah mana Jas? Tak sabar dah ni kak long nak beritahu mereka berdua.” Tanyaku pada Jas dengan gembira.
Tiba-tiba ayah dan emak keluar dari bilik mereka. Terus aku menerpa pada kedua emak dan ayahku.
“Emak, ayah, kak long dah dapat kerja. Seronoknya kak long mak.” Kataku gembira sambil memeluk emak dan ayah.
“Ye ke Jenna? Alhamdulillah, akhirnya Jenna dah dapat kerja. Seronoknya emak Jenna.” Kata emak gembira sambil meleraikan pelukanku.
“Alhamdulillah, nampak gaya rezeki kakak dah sampai juga akhirnya. Bila kakak kena mendaftarkan diri?” kata ayah tiba-tiba.
“Dua minggu lagi ayah. Tapi Jenna ingat nak balik KL awal. Jenna nak prepare apa yang patut. Lagipun Intan dah tinggal kat rumah sewa yang kami cari hari tu. Bolehlah Jenna survey jalan-jalan dan kawasan tempat Jenna kerja tu nanti.” kataku pada ayah dan emak.
Mujurlah juga aku dan Intan sudah menyewa rumah sewa di KL. Lagipun Intan sudah menetap di sana. Dan kini aku mengharapkan tempat kerjaku itu berdekatan dengan rumah sewa kami berdua.
Minggu depan aku akan bertolak balik ke KL. Aku juga sudah memberitahukan hal itu kepada Intan. Seronok benar dia bila aku mengatakan yang aku sudah mendapat kerja. Mesti Intan sunyi kat rumah tu. Kami memang sepakat untuk tinggal menyewa berdua. Kami inginkan lebih privacy. Aku dan Intan lebih suka begitu. Senang juga apabila emak dan ayah kami datang berkunjung ke rumah nanti. Tak lah terlalu ‘crowded’.
Perihal aku telah mendapat kerja, tidak aku ceritakan pada Hisyam lagi. Aku ingin membuat kejutan padanya. Aku akan memberitahunya sebaik sahaja aku tiba di KL nanti.
Aku begitu sibuk mengemas barang-barang yang patut di bawa nanti. Banyak juga benda yang aku nak bawa sebenarnya. Kalau boleh mahuku angkut semua barang-barang yang aku ada tu. Tapi memandangkan aku hanya menaiki bas balik ke KL, aku lupakan hasratku itu. Mungkin aku akan kembali ke rumah semula untuk mengambil barang-barang ku itu.
Sambil aku mengemas barang-barang, emak masuk ke bilikku lalu duduk di birai katil. Emak menegurku.
“Tak siap lagi mengemas Jenna? Mak tengok bukan main banyak kamu bawa barang-barang? Kamu ni nak pindah rumah ke?” kata emak sambil tersengih.
“Ish emak ni. Banyak apanya mak. Ini baru sikit tau. Kalau ikutkan hati Jenna ni mahunya Jenna bawa semua barang-barang Jenna tu. Lebih-lebih lagi novel-novel Jenna tu. Hehehe.” kataku sambil memeluk emak.
“Kamu ni Jenna. Sayang betul dengan novel-novel kamu tu. Biarlah aje kat rumah ni. Mak boleh tengok-tengokkan.” Kata emakku pula.
“Hehehe. Terima kasih mak. Jenna sayang mak tau.” Kataku lalu mencium pipi emakku.
“Ish kamu ni. Dah besar tau. Masih lagi nak bermanja-manja dengan mak ni. Patutnya kamu ni dah sesuai bermanja-manja dengan suami.” Kata emakku tiba-tiba.
Aduhai emak ni. Potong stim betullah. “Emak ni, ada ke situ pulak perginya. Mak janganlah risau ek. Nanti Jenna carikan emak dan ayah menantu sulung. Mak dan ayah doakanlah Jenna dapat seorang suami yang baik-baik. Kalau boleh biarlah macam ayah tu.” Kataku pada emak.
 Itulah yang aku harapkan sebenarnya, untuk mendapat seorang suami yang prihatin, bertanggungjawab dan menyayangi aku dengan sepenuh hati macam ayah.
“InsyaAllah, mak dan ayah sentiasa mendoakan kebahagiaan semua anak-anak kami. Kamu jangan risau, mak yakin kamu akan jumpa calon suami yang terbaik untuk kamu. Dapat menjaga kamu hingga ke akhir hayat. Itu doa mak dan ayah. Apa-apa pun, kamu dah nak mula kerja. Kerja betul-betul. Kerja juga dengan niat hati yang ikhlas.” Pesan emak padaku.
“Baik mak, akan Jenna ingat pesan mak tu sampai bila-bila.” Janjiku pada emak sambil mencium kedua belah pipinya.
Aku terkenang kembali perbualan aku dan emak tadi. Aku akan bekerja dengan bersungguh-sungguh nanti. InsyaAllah, aku akan menjadi seorang pekerja yang terbaik. Aku takkan sesekali melepaskan peluang ini. Aku akan menimba seberapa banyak ilmu nanti.
Bercerita pula mengenai pasangan hidup, aku harapkan Hisyam boleh menjadi seorang suami yang terbaik bagiku. Dan aku juga akan menjadi seorang isteri yang terbaik padanya. Walaupun masih terlalu awal, aku berdoa biarlah jodoh kami berpanjangan. Aku harap juga Hisyam boleh menjadi menantu yang baik pada emak dan ayah. Itu doakan ku pada Yang Maha Esa.
Pagi itu, emak dan ayah menghantar aku ke perhentian bas. Adik-adikku tidak turut serta sekali. Suasana pilu mengiringi perbualan kami. Emak sudah menangis. Ayah jugalah yang sentiasa tenang dan relaks.
“Dahlah maknya. Anak kita tu nak pergi cari rezeki kat KL. Untuk kesenangan kita juga. Ini awak menangis pulak. Bukannya anak kita ni tak balik-balik dah.” Bebel ayah pada mak bila melihatkan emak yang tidak henti-henti menangis.
“Saya sedihlah bang. Awak apa tahu. Jenna, nanti kerja elok-elok tau. Ingat apa pesan mak semalam ye.” Kata emak sambil memelukku.
“Baik mak. Mak janganlah risau. Dah, jangan menangis lagi. Tak senang tau Jenna tengok mak menangis macam ni. Mak doakanlah pemergian Jenna ni.” Kataku pada emak pula.
“InsyaAllah Jenna, ayah dan emak sentiasa doakan Jenna. Jenna kerja elok-elok tau. Selalu-selalulah telefon rumah ye.” Kata ayah pula.
“Bas Jenna pun dah nak gerak tu. Eloklah Jenna naik dulu.” kata ayah bila memandangkan bas yang aku akan naik sudah sampai di terminal.
“Baik ayah. Ayah dan emak jaga diri baik-baik. Dah sampai KL nanti Jenna telefon rumah. Kirim salam pada adik-adik ye ayah.” Kataku lalu menyalami dan mencium tangan ayah dan emak.
Kepulangan aku kembali ke KL telah aku khabarkan pada Intan. Intan dan Razlan akan menjemputku di Hentian Duta nanti. Aku masih lagi didalam bas. Aku ingin menelefon Hisyam untuk memberitahu kepulangan aku ke KL. Sedang aku hendak mendail nombor telefon Hisyam, dia terlebih dahulu menelefonku.
“Assalamualaikum Jenna.” Kata Hisyam memberi salam.
“Waalaikumussalam Hisyam.” Kataku menjawab salam Hisyam pula.
Lalu aku terus bertanya lagi. “Lama tak telefon Jenna? Hisyam sibuk ye?” tanyaku pada Hisyam.
Memang sejak kebelakangan ini, jarang sekali Hisyam menelefonku. Mungkin dia sibuk dengan urusan kerjanya.
“A’ah sayang. Hisyam sibuk dengan kerja-kerja ni. Sebenarnya sekarang ni Hisyam takde kat KL. Hisyam on the way ke Kuantan. Nak tengok site kat sini. Sorry ye sebab Hisyam tak inform kat Jenna awal-awal.” Kata Hisyam. Sedia maklum aku dengan kerjaya Hisyam sebagai seorang jurutera yang berjaya. Terlalu sibuk di tapak pembinaan.
“Ye ke. Tak pe lah. Jenna faham. Hisyam telefon ni pun dah gembirakan hati Jenna tau. Hisyam kerjalah elok-elok ye. Dah sampai sana nanti telefon Jenna.” Kataku berpesan pada Hisyam.
“Okey. Baik Jenna. Dah sampai nanti Hisyam call balik. Key la Jenna, Hisyam ada hal sikit nak berbincang dengan staf kat sini. Nanti Hisyam call Jenna balik. Bye sayang. Take care.” Kata Hisyam padaku.
“Okey, take care. Salam.” Kataku lantas mematikan talian. Tak sempat inginku beritahu perihal kepulanganku ke KL. Takpelah, kalau Hisyam call semula, aku akan beritahu dia. Nampak sangat sibuk benar dia. Biarlah, lagipun aku tak mahu mengganggu kerjanya.
Aku selamat tiba di Hentian Duta. Intan dan Razlan sudah sedia menungguku. Lantas aku memeluk erat Intan apabila berhadapan dengannya. Kerinduan kami tidak dapat dibendung lagi.
“Rindunya Intan kat Jenna. Lama tak jumpa. Kenapa Jenna makin kurus ni? Makan hati ek?” kata Intan sambil memandangku dari atas hingga ke bawah. Intan memang macam ni. Cakap bukannya tahu berlapis. Main sebut je. Tapi disebabkan mulutnya yang boleh dikatakan pedas dan suka main lepas tu lah yang menbuatkan persahabatan kami bertahan hingga ke tahap ini. Intan tidak pandai berpura-pura dan hikpokrit. Apa yang dirasakan tidak puas hati akan disuarakan kepadaku. Begitu juga aku sebaliknya. Razlan kulihat hanya menggelengkan kepalanya bila melihatkan gelagat tunangnya itu.
“Amboi, bukan main ek Intan mengata Jenna. Okey apa Jenna kurus, Jenna diet tau. Jenna tengok Intan ni bukan main comel lagi. Chubby bukan main. Senang hati nampak. Razlan, awak kasi Intan makan apa ni sampai naik benar badan dia Jenna nengok?” tanyaku pada Razlan pula. Intan disisi menjeling tajam padaku.
“Intan ni suka Jenna dah balik sini. Senang hati. Tu yang di melantak makanan betul-betul. Kan sayang?” jawab Razlan sambil menjeling tunang kesayangannya.
“Amboi, bukan main lagi bi ek.” Jawab Intan sambil mencubit lengan buah hatinya itu. Mengaduh kesakitan Razlan dibuatnya.
“Key baby. Bi minta maaf. Dahlah tu. Marilah kita balik. Mesti Jenna pun dah penat dengan perjalanan yang panjang tadi. Kita balik rumah dulu. Lagipun Jenna, Intan dah siapkan makanan untuk kita tau. Tapi tak tahulah sedap ke tidak masakan Intan tu.” Kata Razlan masih lagi menyakat tunangannya itu.
Intan sudah mencebikkan bibirnya. Merajuklah tu. Pandai-pandailah kau pujuk Razlan. Lalu kami bertiga pun bertolak balik ke rumah sewa aku dan Intan.
Malam itu aku duduk bersantai dengan Intan di hadapan televisyen sambil menonton Buletin Utama di TV3. Aku juga baru selesai menelefon emak dan ayahku dikampung memberitahu mereka yang aku sudah selamat sampai di rumah sewa kami. Hanya Hisyam masih tidak kukhabarkan kepulanganku ke KL.
“Jenna, awak tak beritahu Hisyam ke yang Jenna dah balik sini?” tanya Intan tiba-tiba.
“Belum lagi. Dia sibuklah Intan. Lagipun Hisyam takde kat sini, dia outstation kat Kuantan. Jenna dah dapat kerja ni pun Jenna tak beritahu dia tau.” Jawabku pada Intan sambil tersengih. Mesti Intan terperanjat sebab aku tidak memberitahu Hisyam yang aku sudah mendapat kerja.
“Apa Jenna? Jenna tak beritahu Hisyam lagi yang Jenna dah dapat kerja? Ish Jenna ni. Kecil hati dia tau.” Kata Intan sambil menjegilkan matanya.
Dah aku agak reaksi Intan itu. Lalu aku terus berkata...
“Alah, biarlah. Jenna nak buat kejutan pada dia. Nanti bila dia balik sini, Jenna call lah dia. Jenna tak mahulah ganggu dia kerja. Biarlah dia focus dengan kerja-kerjanya itu.” Kataku membalas kata-kata Intan tadi.
“Owh..nak buat kejutan. Hehehe. Bagus juga tu. Mesti terperanjat besar Hisyam. So, esok Jenna tumpang Intan sekalilah pergi kerja. Razlan hantar kita. Lagipun dia cuti.” Kata Intan pula.
 Aku hanya menganggukkan kepala tanda bersetuju dengan cadangannya. Elok juga kalau esok Razlan yang hantar kami ke pejabat. Aku pun kena mendaftarkan diri lebih awal. Lagipun perjalanan kami sehala dan pejabatku tidaklah terlalu jauh dengan pejabat Intan.
Razlan dan Intan menghantarku ke pejabat pagi ini.setelah memberhentikan aku di foyer, aku terus memasuki ruang legar bangunan 5 tingkat itu. Aku ingin pergi ke kaunter pertanyaan untuk bertanyakan di mana tempat yang aku harus tuju. Aku kan masih baru dan tidak tahu selok-belok syarikat ini. Megah Maju Holdings, sebuah syarikat perkapalan di mana ianya berpangkalan di Pelabuhan Klang. Mujur juga aku tidak ditempatkan di Klang, aku ditempatkan di cawangannya sahaja.
Sedang aku berjalan untuk ke kaunter pertanyaan, aku terlanggar dengan seseorang. Hampir-hampir sahaja aku jatuh tersungkur. Habis semua fail-failku jatuh bertaburan di atas lantai.
“Ishh.....Kurang asam betullah. Pagi-pagi lagi dah ada orang buat hal dengan kita. Mata letak kat mana entah. Jalan bukan main besar lagi boleh pula dilanggarnya kita. Menyampah betullah aku. Buta apa?” bebelku sendirian sambil memungut kembali fail-failku tanpaku sedari lelaki yang melanggarku tadi masih lagi tercegat berdiri di hadapanku.
“Habis dah membebel tu? Kalau tak habis lagi bolehlah awak teruskan sampai petang nanti.” kata lelaki itu tiba-tiba.
Aku yang masih tunduk memungut fail-failku yang bertaburan mulai panas hati. Lalu aku berdiri dan mengangkat muka untuk membalas kembali kata-kata ‘pedas’ dari lelaki yang kurang adab sopannya itu. Bukan main terperanjat lagi aku bila memandangkan wajah lelaki itu. Benarkah? Tak mungkin. Jojo????
“Aikk, tadi bukan main lagi mulut tu terkumat-kamit membebel. Sekarang dah hilang pula suara. Cik adik oii, bawa tutuplah mulut tu. Tak elok ternganga sampai macam tu sekali. Nanti masuk lalat pula.” Kata lelaki itu pula sambil tersenyum sinis padaku.
Tersedar aku dari ke’tergamam’man. Baru aku sedar bukan main cantik lagi mulutku ternganga. Alahai malunya. Lalu dengan muka yang merah padam, aku terus berlalu meninggalkan lelaki itu tanpa berpaling ke belakang pun.
Sesi suai kenal baru sahaja berakhir. Aku telah diperkenalkan dengan kesemua staff yang ada di ‘department’ku ini, department pengurusan. Kesemuanya ada lapan orang pekerja. Boleh tahan juga pekerja-pekerja kat sini. Semuanya ramah-tamah dan baik hati belaka. Mejaku pun amat selesa. Kiranya aku berpuas hatilah dengan situasi kerjaku sekarang. Kesemua staf sudahku kenal cuma bos  sahaja yang masih tidak kutemui lagi.
Kata kak Wahida, setiausaha pada bos kami, Encik Hakimi baru sahaja pergi menghadiri mensyuarat lembaga-lembaga pengarah di Klang. Wah, nampaknya bos aku ni bukan calang-calang orang. Tak dapat lah aku berkenalan dengan bos baruku hari ini. Takpe, masih banyak lagi waktu untukku berkenalan dengan bos aku itu.
Hari pertama bekerja agak menyeronokkan. Kesemua rakan-rakan kerjaku sentiasa memberikan aku tunjuk ajar. Mudahlah bagi aku untuk mengetahui selok-belok syarikat ini. Skop tugasku adalah memantau kesemua barangan-barangan yang dieksport atau pun diimport. Nampak gaya aku memang selalu ditugaskan untuk membuat tugasan luarlah ni nanti. Aduhai. Takpelah, tuntutan kerja bak kata kak Wahida.
Kata kak Wahida lagi yang juga ibu beranak dua itu, aku akan sentiasa bersama dengan bos dalam melakukan tugasan luar nanti. Cemburu katanya apabila aku dapat sentiasa bersama bos. Aku pelik, nak cemburukan apanya, kak Wahida sendiri sentiasa menatap wajah bos tiap-tiap hari. Ada-ada aja kak Wahida ni.
Habis waktu pejabat, Razlan dan Intan mengambil aku di tempat kerja. Malam ini aku dan Intan malas nak masak. So, kami sepakat mahu makan di luar. Razlan ikut sahaja kehendak kami berdua. Sedang kami enak menjamu selera, Intan bertanya padaku “Bila Hisyam balik? Rasanya dah seminggu dia kat Kuantan tu kan? Jenna tak rindu ke?” tanya Intan padaku.
 “Mahunya tak rindu. Rindu tau. Katanya next week baru dia balik. Ada lagi kerja yang belum disiapkan lagi.” Kataku membalas pertanyaan Intan tadi sambil asyik menikmati char kuew teow kegemaranku.
 “Peliklah saya tengok relationship awak dengan Hisyam ni Jenna.” Kata Razlan tiba-tiba.
Pelik aku dibuatnya lalu aku bertanya Razlan kembali.
“Apa yang peliknya Razlan? Okey je saya dengan Hisyam tu.” Kataku semula pada Razlan.
“Korang berdua jarang contact kan? Peliklah pasangan bercinta jarang berhubung. Tak risau or cemburu ke Jenna kalau Hisyam tiba-tiba ada orang baru kat sana?” kata Razlan pula.
Intan disebelahnya mencubit lengan Razlan. Tidak senang dengan soalan yang diajukan Razlan padaku. Aku hanya tersenyum kecil.
 “Walaupun kami jarang berhubung tapi kami sentiasa ingat-mengingati tau. Hisyam sentiasa di hati saya. So, saya mesti percaya dia dan dia juga mesti percayakan saya. Dan saya yakin dia ke sana atas urusan kerja. Antara kami tiada apa yang perlu disembunyikan.” Kataku yakin membalas pertanyaan Razlan tadi.
Benarkah antara aku dan Hisyam tiada perkara yang perlu disembunyikan. Tapi kenapa aku tidak memberitahunya aku sudah bekerja. Tentang itu, aku ingin mengejutkan Hisyam. Mengenai Jojo pula? Itu aku masih belum pasti lagi. Biarlah itu menjadi rahsiaku.
“Saya hormat dengan hubungan awak berdua Jenna. Saya sebagai sahabat doakan awak bahagia di samping Hisyam.” Kata Razlan sambil tersenyum. Begitu juga dengan Intan.
“Terima kasih Razlan, Intan. Jenna juga mendoakan perkara yang sama pada hubungan kamu berdua.” Kataku pula sambil tersenyum.
Gembira hati tidak terkata kerana mempunyai sahabat-sahabat seperti mereka ini yang prihatin dengan keadaanku. Aku jadi rindu pada Hisyam di Kuantan. Malam ni aku akan menghubunginya dan memberitahu kesemua padanya.   
Malam itu aku cuba menelefon Hisyam tapi dia tidak dapat dihubungi. Mungkin telefon bimbitnya tidak ada di sisinya kot. Takpe la, nanti aku cuba lagi. Aku cuba lagi mendail nombor telefon Hisyam tapi satu panggilan tiba-tiba masuk. Aku tidak mengenali nombor ini.
 “Assalamualaikum.” Kataku memberi salam.
“Walaikumsalam.” Terdengar suara seorang perempuan di corong telefon bimbitku dengan suara yang agak kasar dan lantang.
“U ni Nur Jenna Jasmin Idris ye?” tanya perempuan itu dengan suara yang angkuh.
 “Ye, saya Nur Jenna. Cik ni siapa? Boleh saya bantu apa-apa?” kataku berbasa-basi. Aku sebenarnya malas hendak melayan panggilan perempuan ini. Nada suaranya begitu angkuh sekali. Meluat aku di buatnya.
“Ye, I nak U bantu I supaya U jangan ganggu tunang I lagi.” Kata perempuan itu lagi.
 “Tunang? Siapa yang cik maksudkan ni? Saya tak fahamlah.” Kataku jujur.
“Hei perempuan, U jangan buat-buat tak tahu pula. Hisyam tu tunang I, so I nak U jangan ganggu dia lagi. Faham. Tak malu ke kacau tunang orang.” Kata perempuan itu sinis lalu terus mematikan talian.
Aku terduduk di birai katil. Pedihnya hati ini. Tanpa aku sedar ada air hangat mengalir ke pipiku. Aku begitu sedih dan marah. Perasaan aku kini bercampur-aduk. Perasaan marah, geram, sedih dan sebak bercampur baur di dalam hati. Betulkah perempuan yang menelefonku tadi tunang Hisyam? Kalau benarlah perempuan itu tunangan Hisyam, hidup-hidup aku di tipu Hisyam. Sampainya hatimu Hisyam menipuku selama ini. Setelah aku pasti yang hati ini hanya untukmu, tiba-tiba kau membuat onar. Hatiku begitu panas membara.
Tiba-tiba, telefon bimbitku berdering. Tertera nama Hisyam, lelaki yang kini menghancurkan hatiku. Aku jadi marah, aku tidak mahu menjawab panggilan darinya. Lalu aku terus mematikan telefon bimbitku dan aku campak ke tepi katil. Biarlah malam ini aku mengubat hatiku yang lara dahulu.
Pagi itu aku bangun dari tidur dengan keadaan yang tidak terurus. Dengan rambutku yang kusut masai, mataku yang sembap kerana terlalu banyak menangis semalam. Aku benar-benar sedih diperlakukan sedemikian rupa. Mujurlah hari ini hari Sabtu, aku tidak bekerja. Kalau tidak mesti kecoh satu jabatan aku tu.Lebih-lebih lagi mulut si becok minah senget, Ramlah. Tak terlarat rasanya aku nak menjawab soalan dia nanti bila melihatkan keadaan aku ini.
Setelah memastikan diriku kini dalam keadaan terurus, tiada lagi lebam hitam di mata, aku keluar dari bilik. Aku lihat Intan sedang sibuk menyiapkan sarapan pagi kami. Apa juga yang si Intan masak pagi ni. Lalu aku mengambil tempat di bangku meja makan kami sambil memerhatikan Intan memasak.
“Opocot mak kau kawin lagi.” Latah Intan.
 “Ya Allah, Jenna. Buat Intan terkejut je tau. Tiba-tiba je dah duk tercongok kat kerusi tu. Bukan nak bagi salam dulu. Aduhai Jenna ni.” Bebel Intan kerana terperanjat.
Aku hanya tersenyum tawar sahaja.
“Dah, yok kita makan dulu. Menu kita pagi ni nasi lemak dengan sambal udang. Sedap ni tau. Intan nak Jenna habiskan tau.” Kata Intan dengan riang pagi itu.
Aku masih lagi tersenyum. Tidak mahu berkata apa-apa.
Sebenarnya aku tidak berselera hendak makan pagi itu. Aku cuma makan sedikit sahaja. Seleraku mati begitu sahaja. Lalu aku bawa pinggan ke singki untuk di basuh. Aku perasan Intan memerhati dan pelik dengan sikapku pagi ini. Lalu dia menegurku.
“Sikitnya Jenna makan. Tak sedap ek nasi lemak yang Intan buat ni?” tanya Intan dalam nada rajuk. Aku hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum.
Untuk tidak melukakan hati Intan, aku berkata “Eh, tak lah. Kalau Intan masak mesti sedap tau. Cuma pagi ni Jenna tak ada selera. Takpe la, nanti tengahari Jenna makan lagi ye.” Intan nampaknya tidak berpuas hati dengan alasan yang kuberikan tadi.
“Jenna ni kenapa? Ada masalah ke? Ceritalah pada Intan. Intan tengok perangai Jenna ni peliklah. Selalunya Jenna tak macam ni. Ni mesti ada sesuatu yang dah berlaku.” Tanya Intan mencungkil rahsia dariku.
Selepas selesai membasuh pinggan-pinggan, kami berdua duduk bersantai di ruang tamu. Intan masih lagi memerhatikanku. Aku buat tidak tahu aje dengan pandangannya itu. Intan tidak puas hati lalu dia bangun dan duduk di sebelahku. Volume televisyen direndahkan.
“Jenna, pandang Intan sekejap.” Arah Intan sambil memalingkan mukaku  ke hadapannya.
“Jenna menangis ye? Tengok mata Jenna ni sembap. Kenapa ni Jenna?” tanya Intan risau. Aku masih mendiamkan diri.
“Kenapa ni Jenna? Tak senang tau Intan lihat sahabat Intan macam ni. Kalau ada apa-apa cerita pada Intan. Kitakan dah lama kenal. Jenna janganlah buat Intan risau.” Kata Intan terus-terusan padaku. 
****************************************************************



No comments:

Post a Comment